Pages

Wednesday, 9 July 2014

Saham akhiratku & kelahiran semula

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sedikit perkongsian kisah hidup insan yang kerdil yang dipilih oleh Allah untuk merasa pahit manis sebuah kehidupan.

Aku diijabkabulkan dengan pilihan aku yang menjadi imamku untuk membimbingku jalan ke syurga seorang insan yang bernama Khairol bin Kamaruddin. Aku sah menjadi pasangan suami isteri pada tanggal 4Mac 2011.Alhamdulillah...tiga bulan perkahwinan aku disahkan mengandung syukur ya Allah impian semua yang bergelar isteri untuk merasa menjadi ibu. Ku sangkakan panas hingga ke petang rupa rupanya sinar kebahagiaan itu tidak dapat kukecapi. Percaturan Allah sebaik baik perancangan.Aku percaya pada Qadar dan Qada' Nya. Aku insan hebat yang dipilih olehNya untuk aku tabah hadapi semua ujian dan dugaan darinya.

Mengimbas kembali tanggal 17 April 2012 aku telah kehilangan puteri sulongku. Puteri sulongku disahkan meninggal dunia di dalam perutku ketika usia kandunganku 38 minggu. Ibu mana yang tidak sedihkan hanya menunggu masa untuk dilahirkan tapi tak sempat melihat dunia Allah telah menjemputmu wahai bidadari syurga. Hasil pemeriksaan mendapati puteriku meninggal kerana terbelit tali pusat kat lehernya. Begitu hebat rasanya ujian yang Kau berikan padaku Ya Allah. Tapi kami sekeluarga redha di atas pemergiannya kerana kami percaya itulah saham yang akan dibawa bersama nanti.

Perancangan Allah Maha hebat selepas tiga bulan pemergian puteriku aku disahkan mengandung lagi.Alhamdulillah Ya Allah masih memberi peluang untukku merasa menjadi seorang ibu. Bersyukur ya Allah atas segala nikmat yang dikurniakan. Sepanjang kehamilanku yang ke dua ini aku tidak hadapi sebarang masalah yang serius dan aku lalui detik detik bahagia merasa tendangan manja baby ku ini di dalam perutku. Indahnya menjadi dan dapat merasa seorang ibu.  Tanggal 2 April 2013 Muhammad Farish Aryyan Bin Khairol selamat dilahirkan. Sungguh comel dan wanginya ahli syurga. Sujud syukur kerana Allah memberi peluang untukku merasa nikmatnya menjadi seorang ibu. Alhamdulillah.

Pada 15 April 2014 sekali lagi aku dipilih oleh Allah untuk diuji olehNya. Ya Allah memang besar dugaan yang diberikan olehNya tapi aku redha. Pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini. Pada pagi 15 April itu aku mengalami sakit perut yang sangat sakit yang tidak pernah aku rasai. Pada waktu itu ku rasakan nyawa sudah di hujung tanduk dan semua ahli keluarga ku menangis melihat penderitaan ku ketika itu. Suamiku segera membawa ku ke hospital. Suamiku membawa ku ke hospital Kuantan Medical Centre yang mengambil masa lebih kurang sejam untuk sampai.

Alhamdulillah Allah masih panjangkan umurku. Aku di bawa ke bilik kecemasan dan doktor membuat pemeriksaan dan mendapati aku mengandung di luar rahim. Keadaan ku ketika itu agak kritikal dan memerlukan pembedahan dilakukan segera. Ini kerana kandunganku sudah pecah dan mempengaruhi tiub fallopian ku. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan ku ketika doktor meminta persetujuan untuk ku menandatangani surat persetujuan pembedahan. Doktor kata untuk menyelamatkan nyawa aku pembedahan perlu dilakukan segera.Aku tiada pilihan lain dan bersetuju untuk melakukan pembedahan. Sepanjang 4 jam aku berada di dalam bilik pembedahan dan Alhamdulillah pembedahan ku berjaya. Allah masih panjangkan umurku dan memberi peluang untukku merasa lagi nikmat duniawi ini.

Aku ibarat dilahirkan semula ke dunia ini. Allah memilih insan yang hebat untuk diuji. Dan aku adalah salah seorang insan yang hebat itu. Semakin aku diuji semakin dekat aku denganNya. Allah tidak akan menguji hambanya kalau hambanya tidak berupaya untuk menanggung ujian itu.Ujian Allah adalah kepada hamba hamba yang Dia sayang dan aku pasti Allah akan memberikan hikmah yang tersendiri kepada kami sekeluarga.

Sakit adalah salah satu penghapus dosa dan Alhamdulillah dengan sakitlah hamba hambaNya akan semakin mendekatkan diri sujud kepadaNya.

1 comment:

  1. hebat kisah hidup yati..sama hebat dengan kecekalan yati..semoga allah merahmati kehidupan yati sekeluarga.ameen..
    www.permataanugerah.blogspot.com

    ReplyDelete