Pages

Sunday, 21 September 2014

Tanda tanda bersalin

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Hari ini saya nak kongsikan tanda tanda bersalin dan petua mudah bersalin. Diharap perkongsian ini memberi manfaat kepada bakal bakal ibu yang akan bersalin dan menimang cahaya mata.

TANDA-TANDA BERSALIN DAN PETUA MUDAH BERSALIN

PENGALAMAN sakit bersalin berbeza-beza bagi setiap wanita. Ada yang merasakan seperti perut memulas hendak membuang air besar, sakit belakang, perut seperti akan pecah dan seumpamanya.

Bermula seawal 28 minggu usia kandungan, wanita akan mula mengalami pengecutan rahim yang normal secara fisiologi, ia dinamakan pengecutan rahim Braxton-Hicks.

Pengecutan rahim ini berlaku jarang-jarang, sekitar setiap 30 minit dan mengambil tempoh beberapa saat saja serta tidak menyakitkan. Ini berbeza dengan pengecutan rahim bersalin yang dialami setiap 15 minit namun kemudiannya menjadi lebih kerap (setiap lima atau tiga minit), setiap satu pula semakin panjang tempohnya (sehingga 45 saat) dan disertai dengan kesakitan.

Tempoh ini bolehlah dikira secara meletakkan tapak tangan pada puncak rahim untuk mengesan pengecutan rahim itu yang sentiasa datang dan menghilang.

Berjumpalah dengan doktor untuk mengesan punca kesakitan yang anda alami. Tanda hampir bersalin adalah seperti berikut:

* kontraksi 5 minit sekali selama 1 jam. (datang lebih cepat jika tinggal jauh) Kontraksi adalah tanda awal dan isyarat yang paling penting yang menunjukkan sudah sampai masa untuk bersalin. sekiranya kontraksi sudah ada, cuba perhatikan masa, tempoh dan berapa minit jarak diantaranya. Kontraksi yang sebenar berlaku secara teratur dan pada jarak yang konsisten. sekiranya ia berlaku setiap 5 min secara teratur dan semakin kerap, pergilah berjumpa dengan doktor untuk mendapat kepastian.

* keluar air ketuban : Air ini biasanya keluar dengan banyak dari vagina. Warnanya jernih, tanpa bau. Kebanyakkan wanita langsung tidak mengalami pecah ketuban sehinggalah disaat-saat akhir proses bersalin. Yang kerapnya, doktor yang akan memecahkan ketuban anda untuk mempercepatkan proses bersalin.

* keluar darah dari vagina. : Disaat awal anda bakal melahirkan, selalunya terdapat lendir pekat bercampur darah keluar dari faraj, ini kerana pintu rahim mula membuka (Pembukaan di bahagian pangkal rahim atau servik dikesan dengan skala 1 hingga 10). Ia boleh berlaku beberapa jam atau beberapa hari sebelum bersalin.

* Sakit Belakang : Sakit belakang sering menjadi masalah utama wanita hamil, tetapi ia juga mungkin satu tanda kelahiran. Sakit ini akan semakin kerap dan kuat dan rasa lebih teruk pada bahagian bawah belakang.

* Perut menjadi ringan sekitar dua minggu sebelum kelahiran kerana kepala bayi sudah pun 'turun' ke dalam kawasan rangka tulang pelvis.

* Keluar lendir pekat seperti gam yang lekang dari laluan pintu rahim apabila pintu rahim mula menipis.

* Pengecutan otot rahim yang semakin kerap dan untuk tempoh yang lama.

* Keluar lendir bercampur darah apabila pintu rahim mula membuka.

Anda juga boleh mempelajari cara mengesan pengecutan otot rahim. Ia juga dapat dilihat dalam carta cardio-tocograph atau CTG yang mencatat pola aktiviti jantung bayi serta pengecutan otot rahim.

Ia dilakukan secara melekapkan dua alat berbentuk cakera tebal ke atas puncak rahim dan pada kawasan jantung bayi, alat ini dilekapkan dengan bantuan tali pinggang bergetah dan dibiarkan selama kira-kira 20 minit.

Ujian air kencing juga mungkin dilakukan untuk memastikan tiada jangkitan air kencing yang juga boleh mengakibatkan kesakitan yang sama walaupun lazimnya ia lebih kepada sakit bahagian ari-ari.

Selain tanda di atas, anda juga perlu ke hospital jika mengalami keluar air ketuban, pergerakan bayi menjadi kurang kerap, keluar darah atau apa saja masalah yang dialami untuk kepastian doktor.

Waktu 40 minggu adalah dikira bermula hari pertama haid terakhir sehingga tarikh jangkaan bersalin.

Namun, 90 peratus wanita didapati sudah selamat bersalin sebelum tiba tarikh terbabit, sekitar 10 hari sebelum tarikh itu.

Bayi dikatakan cukup bulan apabila mencecah usia 38 minggu kandungan. Bayi pula dikatakan lebih hari jika masih belum dilahirkan selepas tarikh 40 minggu, jika melebihi 42 minggu pula dikatakan lebih masa.

Lazimnya bayi selamat jika lahir dalam tempoh 38 hingga 41 minggu, sebaliknya melebihi usia 42 minggu pula dikaitkan dengan risiko kepada bayi.

Membenarkan bayi di dalam kandungan melebihi usia 40 minggu memerlukan pengawasan pergerakan bayi, kandungan air ketuban, keadaan uri, aktiviti jantung dan seumpamanya bagi wanita yang tidak mempunyai masalah seperti darah tinggi, kencing manis atau rhesus negatif.

Pada masa sama, jika keadaan terbabit masih memuaskan, kandungan mungkin dibenarkan selama sekitar seminggu bagi memberi peluang jika anda didatangi sakit bersalin sendirinya tanpa perlu dipaksa bersalin (induksi).

Namun, ia lebih bergantung kepada keputusan anda setelah mendapat pandangan doktor anda.


1 comment:

  1. Teringat kisah nak bersalin dulu...asyil keluar masuk tandas je. Sebabnya tanda tak ada waaupun dah overdue.

    ReplyDelete