Friday, 10 October 2014

Anemia Semasa Hamil

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Entry saya sebelum ni tentang bahayanya tekanan darah tinggi. Pada kali ini saya nak kongsikan pula tentang anemia semasa hamil.

Anemia, perkataan yang berasal daripada bahasa Greek (Ἀναιμία) yang membawa pengertian "tiada darah", merujuk kepada kekurangan sel darah merah (RBC) dan/atau hemoglobin. Ini mengurangkan keupayaan darah untuk memindahkan oksigen ke tisu-tisu, dan mengakibatkan hipoksia; oleh sebab semua sel manusia bergantung kepada oksigen untuk hidup, tingkatan-tingkatan anemia yang berbeza-beza menimbulkan pelbagai masalah. Hemoglobin (protein yang membawa oksigen di dalam sel darah merah) harus hadir untuk memastikan pengoksigenan yang mencukupi bagi semua tisu dan organ badan.

Tiga kelas anemia yang utama termasuk:

♤ kehilangan darah akut (mendadak) yang berketerlaluan (genting seperti dalam kes pendarahan akibat kecelakaan, atau kronik (melalui kehilangan darah isi padu rendah dalam jangka masa lama);

♤ pemusnahan sel darah yang berterlaluan (hemolisis); dan

♤pengeluaran/penghasilan sel darah merah yang kurang (hematopoiesis yang tidak berkesan).

Berikut adalah beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada risiko masalah anemia di kalangan ibu hamil:

■ ibu hamil yang tidak mendapat khasiat secukupnya serta tidak dapat mengamalkan pemakanan seimbang berikutan masalah morning sickness yang teruk dan berlarutan

■ ibu yang hamil anak kembar

■ jarak kehamilan yang terlalu rapat

■ tabiat pemakanan yang tidak baik

■ merokok dan mengambil alkohol secara berlebihan

■ penggunaan ubat-ubatan anti konvulsi

■ perkara-perkara yang boleh mengganggu penyerapan zat besi secara efektif oleh badan

Sementara itu, berikut pula saya kongsikan antara komplikasi dan akibat jika seseorang ibu hamil mengalami anemia dan masalah kekurangan zat besi:

● lebih berisiko untuk bersalin awal dan melahirkan bayi pramatang

● bayi tidak mendapat bekalan oksigen yang secukupnya

● pertumbuhan dan perkembangan bayi mungkin terbantut

● meningkatkan risiko si ibu untuk mengalami masalah praeklampsia (peningkatan tekanan darah ketika hamil) yang boleh mengundang pelbagai risiko lain termasuk kematian

● lebih mudah untuk mengalami jangkitan semasa dan selepas bersalin

Terdapat pelbagai simptom yang menjurus kepada permasalahan ini. Antara yang lazim termasuk:

¤ keletihan
¤ lemah anggota badan
¤ terasa seakan hendak atau mudah pitam
¤ muka kelihatan pucat & lesu
¤ jantung berdegup lebih kencang dari biasa
¤ loya
¤ sakit kepala dan pening
¤ mudah lupa
¤ keradangan pada lidah

Sebagai panduan am, ibu hamil yang mempunyai bacaan hemoglobin melebihi 11g/dl adalah normal manakala yang mencatat 9 hingga 11g/dl menunjukkan masalah anemia ringan, 7 hingga 8.9g/dl pula anemia sederhana dan bacaan kurang daripada 7.0 mengalami masalah anemia tahap teruk.

Mengambil kira pelbagai risiko yang boleh mendatangkan kemudaratan baik buat si ibu mahupun kepada kandungan akibat masalah kekurangan sel darah merah ini, langkah-langkah pencegahan bagi mengatasi masalah ini perlu diambil oleh setiap ibu hamil demi memastikan kandungan dan dirinya sentiasa sihat.

Justeru ibu-ibu hamil adalah disarankan untuk meningkatkan pengambilan makanan kaya zat besi seperti ayam, sayuran berdaun hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, kekacang, tembikai, labu, bijan dan tauhu.

Di samping itu, doktor yang merawat dan menjalankan pemeriksaan terhadap ibu hamil yang mempunyai permasalahan ini juga lazimnya akan mengesyorkan pengambilan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia.


No comments:

Post a Comment