Tuesday, 30 September 2014

Teknik cepatkan proses kelahiran

Assalamualaikum dan salam sayang buat semua yang tercinta. Kali ini saya nak kongsikan teknik cepatkan proses kelahiran. Kelahiran adalah saat yang paling mendebarkan dan juga saat terindah apabila dapat melihat si comel dilahirkan ke dunia.

Anugerah terindah dari Allah

Proses kelahiran lazimnya dihitung dari detik kontraksi sebenar pertama berlaku ataupun ketika kantung air ketuban pecah. Manakala doktor pula akan mengira tempoh proses kelahiran bermula daripada pelebaran bukaan serviks berukuran tiga hingga empat sentimeter. Hal ini kerana, ia merupakan titik permulaan fasa aktif dalam proses kelahiran. Bagi segelintir wanita, tempoh berkenaan mungkin dianggap sudah terlalu lama memandangkan sakit kontraksi yang dialami telah pun berlaku beberapa jam sebelum itu.

Kelahiran anak pertama, biasanya mengambil masa dalam tempoh lebih kurang lapan jam. Namun, ada juga yang lebih atau kurang daripada tempoh itu. Bagi anda yang pernah melahirkan sebelumnya pula akan melalui tempoh masa proses kelahiran yang lebih pendek. Walau bagaimanapun hal ini bergantung kepada individu kerana setiap orang adalah berbeza. Namun yang demikian secara puratanya tempoh masa yang diambil adalah sekitar lima jam.

Ketahuilah bahawa ia bukanlah sesuatu yang lebih baik untuk anda dan bayi jika proses kelahiran itu bergerak terlalu cepat. Sesungguhnya proses kelahiran yang berlaku terlalu pantas boleh menimbulkan keletihan kepada diri anda sendiri sama ada secara fizikal mahupun emosi.
Sementara itu proses kelahiran menjadi lambat atas pelbagai faktor. Adakala proses kelahiran berjalan lambat disebabkan anda terlalu tertekan. Perasaan takut yang dirasai akan menyebabkan hormon kelahiran menjadi kacau bilau.

Proses bersalin juga berkemungkinan menjadi lambat kerana kedudukan bayi di dalam kandungan yang tidak membolehkan dia memasuki saluran peranakan dengan betul. Kontraksi yang dialami tidak begitu kuat ataupun pelvis anda tidak mempunyai bentuk atau saiz yang sesuai.

Menurut kajian terdapat satu per empat wanita dilahirkan dengan bentuk pelvis yang mirip seperti pelvis lelaki (pelvis android). Bentuk sebegini menjurus bayi untuk lebih cenderung mengambil posisi belakang ke belakang. Hal seperti inilah yang akan melambatkan dan menyukarkan proses kelahiran berlangsung dengan baik.
Semulajadinya proses kelahiran mungkin lambat dengan tidak mempunyai apa apa sebab.  Ingatlah bahawa ia akan mengambil masa lebih lama untuk serviks melebar di lima sentimeter pertama berbanding lima sentimeter yang kedua. Hal ini disebabkan apabila kontraksi menjadi lebih kuat ia membantu serviks melebar dengan lebih cepat.

Teknik semulajadi cepatkan kelahiran

¤ Jika berbaring anda perlu bangun. Pergerakan yang banyak mungkin menguatkan kontraksi dan membantu anda mempercepatkan proses kelahiran.

¤ Buang air kecil dengan kerap kerana pundi kencing yang penuh boleh melambatkan proses kelahiran kerana ia menghalang penurunan kepala.

¤ Mandi menggunakan air suam atau masuk ke dalam kolam bersalin. Hal ini akan mengurangkan keperluan anda untuk mengambil ubat bagi mempercepatkan proses kelahiran.

¤ Aplikasikan teknik teknik pernafasan yang dipelajari di kelas antenatal jika anda berasa terlalu cemas.

¤ Minta suami untuk urut bahagian belakang anda secara lembut tetapi tegas.

¤ Tukar posisi di atas katil jika anda tidak mahu berjalan jalan

¤ Hayunkan punggung dan membongkok ke depan semasa kontraksi berlaku dapat membantu rahim menolak bayi agar masuk ke saluran peranakan dengan betul.

Syntocinon

Jika kekerapan pergerakan yang anda lakukan tidak banyak memberi kesan positif untuk mempercepatkan proses kelahiran ataupun pemecahan kantung air ketuban tidak banyak membantu, doktor  mungkin akan mencadangkan titisan (drip) bagi membolehkan kontraksi menjadi lebih efektif. Drip berkenaan dikenali sebagai syntocinon dan mengandungi hormon kelahiran, oksitosin dalam bentuk tiruan.
Sekiranya anda diberi drip syntocinon, denyutan jantung bayi akan dipantau secara berterusan dengan menggunakan sensor elektronik yang diletakkan di perut. 

Pengawasan berterusan ini amat diperlukan kerana syntocinon boleh merangsang rahim secara berlebihan lalu menyebabkan kontraksi menjadi terlalu kuat dan kerap yang akhirnya mungkin menyebabkan bayi menjadi cemas.
Dalam pada itu, setelah diberi syntocinon anda akan mendapati diri memerlukan bantuan daripada ubat pelega kesakitan agar dapat menahan kesakitan kontraksi tiruan ini. Atas sebab inilah doktor kafang kala mungkin menawarkan epidural sebelum drip syntocinon diberikan.

Semoga bermanfaat info yang saya kongsikan ini. Untuk tips mudah bersalin boleh kliks disini.

Selamat bersalin dan saya doakan selamat semuanya Insya Allah...aminn..:) 

No comments:

Post a Comment