Monday 15 September 2014

Tips membawa anak bercuti

Assalamualaikum dan salam sejahtera....

Pada kali ini saya nak kongsikan tips membawa anak kecil bercuti. Sekarang kan tengah musim cuti persekolahan. Apa rancangan percutian anda pada kali ini? Musim cuti sekolah paling dinanti oleh anak anak.

Bila tiba musim cuti sekolah, inilah masa yang sesuai untuk membawa anak-anak pergi bercuti sama ada di dalam atau ke luar negara. Mempunyai anak kecil sebenarnya bukanlah satu penghalang untuk pergi bercuti. Jika betul caranya, kerenah anak yang diluar jangkaan pasti dapat diatasi dengan mudah.

Di dalam entri ini, saya ingin kongsikan beberapa Tips Bawa Anak Bercuti yang biasa saya lakukan dan boleh anda praktiskan :

1. Rancang percutian

Merancang untuk bercuti adalah keputusan yang bijak. Kita hendaklah merancang waktu yang sesuai ke mana destinasi yang ingin dikunjugi, tarikh dan keadaan cuaca pada ketika itu. Yelah kan mana tau tengah tengah syok bercuti banjir ke apa ke. Kita hendaklah merancang masa yang sesuai bagi percutian kita.

2. Pilih destinasi dan penginapan yang selesa.

Biasanya kami akan menyenaraikan beberapa pilihan destinasi percutian untuk dikunjungi. Kami akan mengambil kira suasana tempat penginapan yang selesa, kemudahan lain yang disediakan dan lokasi menarik berhampiran dengan destinasi pilihan kami. Oleh kerana anak-anak sangat gemar bermain air, kebanyakan tempat percutian yang dipilih mempunyai kemudahan untuk mandi-manda seperti percutian ke Felda Residence Hot Springs, Perak, Marina Water Park, Perak dan Wet World, Shah Alam, Bukit Gambang Waterpark.

3. Bawa pakaian dan keperluan lain secukupnya

Setelah memilih destinasi percutian, saya akan mengemas dan masukkan pakaian yang cukup sepanjang tempoh percutian ke dalam beg yang berasingan - satu beg untuk saya, satu untuk suami dan begitu juga dengan anak-anak. Jangan lupa bawa bersama pakaian yang sesuai dengan tempat percutian seperti baju sejuk, pakaian mandi dan sebagainya.

Keperluan lain seperti ubat-ubatan, seterika, beg plastik (untuk pakaian kotor) dan lain-lain akan dimasukkan ke dalam beg lain. Oleh kerana kami mempunyai anak kecil, kami akan membawa stroller dan SSC (bergantung kepada tempat yang dikunjungi) bagi memudahkan pergerakan.

4. Bekalan mainan, buku dan makanan & minuman

Kadangkala anak-anak berasa bosan jika perjalanan ke destinasi percutian mengambil masa yang lama. Bawalah bersama mainan dan buku kegemaran anak-anak bagi menghilangkan rasa bosan. Di samping itu, jika anak sudah pandai membaca mintalah anak membaca papan tanda yang dilihat semasa dalam perjalanan. Secara tidak langsung akan menambahkan lagi perbendaharaan kata dan nama-nama tempat yang dilalui.

Sebelum memulakan perjalanan, isilah perut terlebih dahulu. Ada masanya anak-anak berasa lapar atau sekadar ingin mengunyah sesuatu. Bawa bersama makanan dan minuman secukupnya.

5. Utamakan waktu rehat anak

Bercuti bersama anak memerlukan kita mengikut rentak mereka. Elakkan terus berjalan-jalan sedangkan anak sudah keletihan dan mengantuk. Keletihan akan menyebabkan mereka meragam yang mana kerenah mereka mungkin akan membangkitkan kemarahan dan tekanan diri ibu bapa. Cara yang terbaik ialah rancang waktu dengan memberi ruang rehat secukupnya kepada anak sebelum anda memulakan aktiviti.

6. Jaga keselamatan

Sentiasalah memantau pergerakan anak-anak kerana sebarang kemugkinan yang tidak diingini mungkin akan berlaku tanpa kita sedari. Elakkan anak bermain seorang diri tanpa pengawasan dari ibu bapa. Jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, segeralah meminta bantuan. Sebaiknya ibu bapa perlu mengetahui teknik pertolongan cemas dan menyimpan nombor kecemasan untuk dihubungi.

Diharap perkongsian ini memberi panduan kepada ibu bapa untuk mempraktikkan semasa bercuti. Semoga entri ini bermanfaat kepada semua. Tunggu untuk tips tips lain pula yang akan saya kongsikan di sini.

Terima kasih sudi meluangkan masa membaca entri blog saya. ;)

No comments:

Post a Comment